Monday, October 19, 2009

Hukum Makmum Terlambat Dari Imam

Seorang makmum telah dikira mendapat pahala jamaah dan bersama imam jika ia sudah dapat takbiratul ihram atau berdiri tegak bersama imam ( Rawdah At-Tolibin, hlm 153).

Imam An-Nawawi menyebut ; kiranya makmum terlewat satu rukun tanpa uzur, tidak batal solatnya, tetapi jika terlewat dua rukun panjang (seperti sujud dan rukuk) maka solatnya batal secara pasti. (Rawdah al-Tolibin, hlm 165)

Maka dalam hal makmum lambat membaca fatihah, mazhab Syafie dalam ijtihad ( menurut solat Rasulullah SAW ketika di ‘Usfan) mereka meletakkan syarat agar si makmum tidak terlewat sebanyak 3 rukun dari imam (iaitu rukuk dan dua sujud), jika ia merasakan masih mungkin terlewat, hendaklah si makmum memutuskan apa jua bacaannya dan terus rukuk agar tidak ketinggalan 3 rukun dari imam. Jika tidak, solat si makmum akan terbatal. Sebagai contoh, si makmum masih lagi berdiri dalam bacaan fatihahnya tanpa uzur dan imam sudah bangun dari sujud, maka solatnya boleh terbatal.

Bagaimanapun sekiranya terlewat dari 3 rukun itu dengan sebab uzur yang diterima, seperti imam terlampau cepat, makmum takut akan sesuatu, keadaan terlampau sesak, makmum sakit, lupa dan lain-lain yang diterima, maka Imam An-Nawawi menyebut, si makmum boleh memutuskan dirinya dengan imam (mufaraqah) atau yang terpilih menurutnya adalah ; solat tidak batal dan boleh terus sahaja bersama imam (dengan menuruti tertib solat yang asal) dan menggantikan rakaat selepas imam tamat solat. (Rawdah at-Tolibin, hlm 166)

Tangguh Solat

Disertakan kumpulan Hadith berkaitan.

1) Hadith:

الصلاة في أول الوقت : رضوان الله وفي آخره عفو الله (رواه الترمذي)

Ertinya: " Solat di awal waktu ; perolehi keredhaan Allah, dan di akhjrnya mendapat keampunan Allah" ( Riwayat At-Timidzi tetapi Albani mengatakan Mawdhu)

2 ) Sabda Nabi SAW


سيل النبي صلى الله عليه وسلم أي الأعمال أفضل , قال الصلاة لأول وقتها (رواه الترمذي)

Ertinya: " Ditanya Nabi SAW , apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu" ( Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani : Sohih)

3- Nabi SAW bersabda. Ertinya : "Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat zohor, kerana kekuatan panas (matahari) adalah dari bahang neraka jahannam." ( Hadith Shohih riwayat Al-Bukhari)

4- Nabi SAW bersabda : Ertinya : "Kiranya tidak menjadi keberatan bagi umatku , nescaya akan ku arahkan mereka agar melewatkan solat isyak (jemaah) sehingga 1/3 atau ½ dari malam"

5- Nabi SAW bersabda : Ertinya "Jangan kamu melewatkan solat kerana makanan dan juga lainnya" (Riwayat Abu Daud , Al-Albani menyatakannya Dhoif)

6- Nabi SAW Bersabda : Ertinya : "Lewatkanlah solat fajar, kerana ia lebih agung ganjarannya" (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasaie, Abu Daud dan Ibn Majah. Tirmizi menyatakan ia Hadith Hasan Shohih , bagaimanapun Al-Haithami menyatakan dalam rawinya terdapat Abd Rahman Bin Zaid, ia adalah Dhoif)

Demikian, hadith umum tentang fadhilat solat di awal waktu, bagaimanapun terdapat beberapa hadith yang lain yang dianggap ditakhsiskan awal waktu tersebut. Yang mana ianya memberi kesan terhadap pandangan para fuqaha mazhab. Terlebih dahulu, dikemukakan pandangan mazahab empat :-

Mazhab Hanafi:Sebaik waktu adalah di awalnya, kecuali Subuh dan Asar, Hanafi berpandangan lebih afdhal ditunaikan subuh ketika hampir terang, bagi meramaikan jemaah di masjid. Merka berdalil dengan hadith yang keenam di atas. Bagaimanapun Majoriti Mazhab mengatakan Subuh ketika gelap (awal waktu) lebih afdhal.
Adapun sebab afdhal melewatkan solat asar, krn bagi membolehkan solat sunat sebanyak mungkin sebelumnya.

Mazhab Maliki: Sebaik2 waktu adalah permulaannya samada jemaah atau bersendiri, zohor dan lainnya. Mrk berdalilkan kpd hadith yang pertama, kedua dan kelima tadi. Lalu semua jenis solat adalah afdhal diawalkan kecuali jika menunggu jemaah sampai.

Mazhab Syafie: Disunatkan menyegerakan solat semuanya kecuali Zohor, disunatkan menunggu sedikit redup dan kurang panasnya. Pandangan ini berdasarkan hadith ketiga di atas.

Mazhab Hanbali: Afdhal waktu adalah di awalnya kecuali Isyak dan Zohor. Melewatkan Isyak hingga ke 1/3 malam adalah afdhal kiranya tidak menyukarkan makmum. Ia berdasarkan hadith ke empat di atas. Adapun waktu Zohor berdalilkan hadith ketiga.

Kesimpulan menurut penulis: Umumnya, solat di awal waktu terlebih afdhal ketika tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti meramaikan jemaah bagi waktu subuh, Memperbanyakkan solat sunat sebelum asar, Membolehkan Qiamullail bagi Isyak dan menyejukkan bahang bagi Zohor. Tanpa Alasan dan maslahat tadi maka , semua solat adalah afdhal di awalnya.

Hukum Sedeqah Pahala Amalan Kepada Si Mati

Sebelum menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik kiranya pembaca dapat memahami bahawa amal ibadat seseorang terbahagi kepada 3 jenis :-

1) Amal Ibadah ‘Badaniah' semata-mata : Iaitu ibadat yang dilakukan oleh tubuh semata-mata seperti solat, puasa, membaca al-quran dan lain-lain.

2) Amal ibadah ‘Maliah' : Iaitu amal ibadat berbentuk harta semata-mata, seperti zakat, sedeqah.

3) Amal ibadah yang mengandungi unsur ‘badaniah' (dilakukan oleh tubuh) dan ‘maliah' ( berbentuk harta) serentak ; ianya seperti Haji.

Maka bagi menjawab persoalan di atas, secara umumnya seperti berikut :-

a- Para ulama ahli sunnah wal jama'ah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan boleh di hadiahkan pahalanya kepada orang lain. Ia adalah amalan berikut ( Rujuk : Hasyiah Ibn ‘Abidin , 1/605 ; Nihayatul Muhtaj , 6/92 ; Mughni al-Muhtaj , 3/96 ; al-Mughni, 2/567 ) :-

1- Sedeqah harta dan yang sepertinya.

2- Doa & istighfar.

3- Apa-apa jenis Ibadat yang boleh diwakilkan. (seperti haji)

Antara dalil utama mereka adalah :-

a) Erti firman Allah : "Dan mereka yang datang selepas kumpulan itu , berdoa Ya tuhan kami ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang sebelum kami telah beriman" ( Al-Hasyr : 10 )

b) Firman Allah ertinya : "Dan pintalah ampun bagi dosa kamu dan dosa orang mukmin" ( Muhammad : 19 )

c) Bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: ertinya " Ya Rasulullah SAW , sesungguhnya ibuku telah meninggal, adakah jika aku bersedeqah untuknya, maka pahala sedeqah ini dapat memberi manfaat kepadanya? , Nabi SAW menjawab : " Ya" ( Riwayat Abu Daud & Tirmidzi ; Imam Tridmidzi mengatakannya Hasan ; juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sedikit berbeza lafaz tetapi ertinya sama)

d) Seorang lelaki bertemu Nabi SAW lalu bertanya " Ibu telah meninggal, dan ada meninggalkan harta tetapi ia tidak membuat sebarang wasiat terhadap hartanya, adakah jika aku menyedeqahkan hartanya maka dosanya boleh terhapus ? Nabi menjwab : ya" ( riwayat Muslim , Nasaie , tirmidzi dan lain-lain)

Hasil kefahaman dari dalil-dalil di atas :

* Doa muslim kepada yang lain samada hidup atau mati, adalah boleh membantu saudaranya dalam bentuk syafaat, sebagaimana kata Imam al-‘Iz bin Abd Salam "Doa adalah suatu bentuk syafaat (bantuan) yang diharuskan buat ahli keluarga dekat dan rakan yang jauh" ( Qawa'id al-Ahkam , 1/135 ).

* Amalan sedeqah harta boleh memberi manfaat kepada si mati. Bagaimanapun Imam As-Syawkani ( w 1255 H) dan Syeikh Muhd Rashid Ridha ( w 1354 H) berpendapat amalan sedeqah ini khas untuk anak si mati sahaja. Menurut mereka, sedeqah dari orang asing tidak sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Nayl awtar , 4/99).

Bagaimanapun Imam An-Nawawi (w 676 H) serta jumhur ulama sebelum as-Syawkani telah pun membawa hujjah bahawa sedeqah bukan dari anak juga boleh sampai kepada si mati dengan dalil berikut :-

1) Ijma' , ia telah ditegaskan oleh Ibn Quddamh ( w 620 H), An-Nawawi dan Ibn Khathir.

2) Telah sabit dalam hadtih bahawa Nabi SAW telah mengiakan pelupusan hutang beberapa orang sahabat, walaupun ia di bayar oleh bukan ahli keluarga si mati.

b- Adapun amalan-amalan lain terutamanya dari kumpulan amalan berbentuk ‘badaniah' semata-mata dan berbentuk gabungan antara amalan tubuh dan harta, Para ulama terbahagi kepada dua kumpulan besar, ia seperti berikut : -

* Majoriti ulama berijtihad mengatakan ianya tidak boleh dihadiah dan tidak sampai kepada si mati jika dihadiahkan. Ia adalah pandangan Imam As-Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Syafie, ia juga pandangan Imam Malik, Imam Izzudin Bin Abd Salam.

Antara dalil utama kumpulan ulama yang melarang ini adalah seperti berikut :-

1) ((وأن ليس للإنسان إلا ما سعى ))

Ertinya : "Dan sesungguhnya setiap manusia tidak akan memperolehi kecuali apa yang diusahakan.." ( An-Najm : 39 )

2) ((ولا تكسب كل نفس إلا عليها , ولا تزر وازرة وزر أخرى ))

Ertinya : "Dan tidaklah seseorang berusaha (beramal) kecuali ia akan memperolehinya , dan tidaklah seseorang kamu menanggung dosa dan beban orang lain" ( Al-An'am : 164 )

3) Hadith Nabi SAW

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"

Bagaimanapun, Mazhab Hanafi, Hanbali secara umum dan sekumpulan kecil dari mazhab Maliki, ulama mutaakhirin dari mazhab Syafie dan Imam Al-Qurtubi pula berpendapat : Harus dan pahala seluruh jenis ibadat sampai kepada si mati, iaitu jika ia diniatkan hadiah kepadanya. Ini beerti menurut ijtihad kumpulan ulama ini, semua ibadat seperti solat, puasa, haji, membaca al-quran, sedeqah harta, doa dan lainnya, akan sampai pahalanya kepada si mati. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa sedeqah tidak semestinya dengan harta (al-Bahr al-Raiq,3/64 cet dar al-Kitab al-Islami; At-Tazkirah fi Ahwal al-Akhirah, 1/101)

Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal secara peribadi pula mempunyai pandangan pertengahan antara kedua kumpulan di atas dimana beliau berijtihad HARUS menyedeqahkan pahala membaca al-Quran kepada si mati.

Imam ahmad mengatakan :

" وأي قربة فعلها وجعل ثوابها للميت المسلم نفعه ذلك إن شاء الله , والمسلمون في كل عصر ومصر يجتمعون ويقرأون القرآن ويهدون ثوابه إلى موتاهم من غير نكير "

Ertinya : Dan apa jua amalan taqarrub yang telah dibuat dan dijadikan pahalanya kepada si mati yang Muslim, maka ia telah memanfaatkan si mati inshaAllah, dan orang Islam di setiap zaman dan tempat berkumpul dan membaca al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati mereka tanpa sebarang bantahan" (Al-Mughni, 2/566)

Ijtihad beliau disokong oleh sebahagian daripada ulama mazhab Syafie seperti Imam Ibn Solah, Al-Muhib at-Tabari lain-lain. Imam Ibn Quddamah Al-Hanbali ( w 620 H) berkata : " sejak turun temurun di setiap zaman muslim berkumpul dan membaca al-Quran serta mendoakan pahalanya kepada muslimin yang telah meninggal, Nabi SAW pernah bersabda bahawa si mati di azab dengan sebab ratapan dan raungan si hidup, maka tiada sebab mengapa Allah menghalang pahala kebaikan sedangkan azab boleh samapi kepada si mati.." (Rujuk al-Mughni, 2/226 cet Dar Ihya at-Turath al-Arabi)

Secara ringkas antara dalil-dalil kumpulan ulama yang membolehkan ini adalah hadith-hadith yang menyebut tentang keharusannya dalam jenis ibadah Puasa, Haji, Doa, Istighfar dan lain-lain, yang mana menurut ijtihad mereka ia termasuk secara langsung atau tidak dalam bentuk ibadah ‘badaniah' semata-mata dan juga gabungan badaniah (tubuh) dan harta. Berdasarkan dalil ini mereka men ‘qias'kan kepada semua jenis ibadah.

Demikianlah, beberapa pandangan para ulama muktabar ahli sunnah wal jama'ah dalam tajuk ini, kesemua mereka sebagaimana yang dapat dibaca, berijtihad dalam memahami dalil-dalil ..maka dalam hal ini, justeru kiranya ada individu yang melakukannya, tidak harus kita menolaknya secara putus (qat'ie) kerana mereka juga mempunyai dalil walaupun dalil mereka di anggap lemah oleh yang menolak ( kecualilah jika terdapat unsur-unsur bid'ah terhasil dari perkara-perkara luar). Apa yang penting adalah menghormati hasil ijtihad para ulama yang berkelayakan.

Sebagai penutup, suka saya memetik kata Ibn Taymiah : "Sah dari Nabi SAW bahawa baginda mengarahkan bersedeqah kepada si mati, juga berpuasa untuknya , maka sedeqah untuk si mati adalah termasuk dari kalangan amalan soleh.... Bagaimanapun bukanlah dari kebiasaan para ulama salaf dan sahabat apabila solat sunat dan puasa dan haji dan membaca al-Quran, mereka menghadiahkan kepada muslimin yang telah mati, justeru adalah terlebih baik jika manusia menuruti jalan mereka kerana ia adalah lebih baik dan sempurna." (Fatawa al-Kubra , 3/38 cet dar al-kutub al-ilmiah)

Justeru, saya merasakan adalah lebih baik menghabiskan usaha si hidup untuk menghadiah pahala-pahala yang pasti sampai kepada si mati sahaja. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin memegang ijtihad ulama yang mengharuskan, saya kira ia bukanlah masalah yang besar. Wallahu'alam.

Isu Gabung Puasa Qadha & Sunat

Jika anda bertanya manakah yang lebih baik antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha, jawapannya adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih ertinya : “ Tidak hampir kepadaku orang yang ingin hampir kepadaKu sebagaimana apabila mereka melaksanakan amalan fardhu / wajib mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” ( Riwayat Al-Bukhari )





Amat jelas hadis ini menjelaskan amalan fardhu atau wajib lebih utama di sisi Allah SWT dari yang sunat, walau sehebat mana sekalipun yang sunat itu.

Hadis tadi sebagai asasnya, tetapi dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksud saya begini, jika seseorang itu perlu qadha puasanya selama 30 atau berpuluh-puluh hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat sehingga mampu mengerjakan syawwal terlebih dahulu, ketika itu mungkin ia boleh mendahulukan puasa syawwal bagi mengejar waktunya yang singkat berbanding qadha. Tapi harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa qadha adalah panjang, tetapi kita tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum qadha puasa tetapi sudah berpuasa sunat syawwal akan pasti bermasalah kerana ia masih berhutang dengan Allah. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah qadha puasanya tetapi tidak sempat sunat syawwal, maka tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.



Kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.



Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan saya seperti berikut :-



Tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu ( dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk digabungkan. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang membolehkan penggabungan menjadi tandatanya iaitu :-



• Jika anda mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan tahiyyatul masjid atau dengan solat unat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat tahiyyatul masjid. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
• Menurut guru saya Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.



• Tindakan A’isyah ra yang melewatkan qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa qadha dan syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. ( tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya)

• Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun , ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat sepenunya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

• Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW ertinya “ Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Muslim). Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melangkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

• Hujjah ulama yang mengharuskan adalah hadith “ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12) dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat dalam mazhab Syafie mestilah dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103)

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

• Qiyas haji Qiran (iaitu menggabungkan Haji dan Umrah) kepada Puasa Qadha wajib dan Sunat Syawwal adalah qiyas yang kurang tepat. Malah terdapat majority ulama yang tidak setuju dengan konsep “qiyas’ dalam isu ibadat. ( Rujuk Nihayah As-Sull, Jamaluddin al-Isnawi)

Kesimpulan pandangan saya yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal) ; bagaimanapun, pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan adalah beberapa ulama mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.