Thursday, August 19, 2010

Ramadhan:Ilmu Kebal ke?

Kalimah ‘La'alla' di dalam ayat 183 surah Al-Baqarah, boleh diterjemah kepada maksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan'

Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.

Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.

Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.

Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah,

Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya,

Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz,

Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai

Isteri berpura-pura baik di hadapa suami,

Suami berpura baik di hadapan isteri

Dan berpanjanganlah senarainya. Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA.

Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.

Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa.

ILMU KEBAL, ISTIQAMAH DAN ‘KEKUATAN'

Pernahkah kita menjadi ibu bapa yang buntu serta terfikir, apakah caranya untuk mengajar anak agar tidak menjadi baik hanya dihadapan kita? Ingin kita berikan mereka ilmu kebal iman?

Pernahkah kita inginkan suami atau isteri yang kebal dengan dugaan nafsu, syahwat dan dosa di luar sana.?

Pernahkah kita ingin diri kita, untuk sentiasa mampu menjauhkan diri dari dosa dan maksiat?

Selalukah kita berdoa dan berkata"agar diberi kekuatan oleh Allah untuk terus itu ini..jauhi itu dan ini?

Sedarilah, inilah masa untuk mencipta ilmu kebal, mendapat anti virus dosa dan meraih ‘kekuatan' yang sentiasa kita ungkap-ungkapkan dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan terleka dan terlalai!, Musimnya sudah tiba. Bulan Ramadhan dan ibadah puasa inilah jalannya, caranya, kaedahnya dan formulanya.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s

يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير

Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A'raf : 26)

ERTI TAQWA

Kalau sudah mengerti, taqwa itulah objektif, apa pula taqwa itu sendiri?

Erti taqwa dari sudut letal adalah takut atau sentiasa jauh dan berhati-hati.

Namun taqwa dalam konteks istilah khas di dalam Islam, tidak hanya terhad kepada makna takut dan menjauh, tetapi ia juga membawa maksud cinta dan mendekat.

Taqwa ini tidak berbentuk fizikal, tiada bentuk hexagon, bujur, bulat atau bersegi, tidak pula bertablet dan berkapsul. Ia adalah satu SIRAMAN KEIMANAN DAN KEYAKINAN bentuk spiritual. Tiada terlihat dek mata, hidu oleh hidung dan terdengar di telinga.

Nabi s.a.w pernah menerangkan bahawa taqwa itu tempatnya di dalam hati. Bukan hati fizikal di dalam jasad, tetapi hati nurani di dalam diri.

Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika di tanya oleh sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:[1]

أما سلكت طريقاً ذا شوك. قال: بلى. قال: فما عملت.

قال: شمرت واجتهدت.

قال: فذلك التقوى،

Ertinya : Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?

Jawab Ubay : pernah

Umar : Bagaimana kamu lakukan?

Ubay : Aku sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri

Umar : itulah juga sifat taqwa

Tepat sekali, itulah tanda taawa sudah tersemat di dalam diri, kesannya boleh dilihat dari perumpamaan yang diberi oleh Umar tadi. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk terus berhati-hati dalam setiap tingkah laku, percakapan, tulisan, ibadah, niat, kerjaya, pelaburan, dan semua aspek, agar TIDAK MENCALAR redha dan hukum Allah swt, TIDAK mengundang murka Allah swt, tatkala itu. Antivurs dosa, iaitu TAQWA sedang berfungsi molek di dalam dirinya. Namun, tentulah kepenatan dan perlukan usaha bersungguh untuk tujuan itu?.

Tentu kerana baginda Nabi s.a.w telah menyebut bahawa lalau ke syurga adalah dengan duri-duri, sedangkan lorong ke neraka adalah dengan keseronokan dan syahwat.

Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata :

تمام التقوى :أن يتقى الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك بعض ما يرى أنه حلال ، خشية أن يكون حرامًا

Ertinya : Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :

لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع ما لا بأس به حذرًا مما به بأس

"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah' ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)

Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :

التقوى هي الخوف من الجليل والإيمان بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Ertinya : Taqwa itu adalah :

a. TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah)

b. YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran)

c. REDHA dengan sedikit (nikmat dunia)

d. SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)

Apabila semua yang disebut di atas sudah mampu diwujudkan, hidup akan menjadi lebih indah, tiada kepuraan, tiada banyak dukacita, tiada banyak kesedihan kerana dunia.

Akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan melalui tulisan ini, adalah Taqwa itulah objektif dan hikmah kepada puasa. Yang memberi kekuatan fitrah kepada manusia setelah tercemar dimamah virus dan bakteria dosa. Agar kembali kepada fitrah, dengan pasakan kukuh tawa sebagai antivirusnya. Hala tuju hidup menjadi jelas dan terang, redha Allah, kematian yang baik dan nikmat di alam selepasnya menjadi sasaran utama.

Sekian.

Dupetik Dari www.zaharuddin.net

No comments:

Post a Comment